KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah dijangka menjadi medan paling sengit dalam sejarah politik negeri itu, dengan kemunculan beberapa parti baharu dan keputusan parti tempatan untuk bertanding secara solo.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Sabah, Tony Paridi Bagang, menjelaskan bahawa perkembangan ini akan memberi kesan besar kepada gabungan parti sedia ada seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Kemunculan parti baharu, termasuk ‘gelombang hitam’, akan menambah kecairan politik di Sabah. Keputusan STAR dan SAPP bertanding sendirian juga memberi impak terhadap keseimbangan pengaruh antara parti tempatan,” katanya.
Menurutnya, persaingan dijangka paling ketara di kawasan Bumiputera bukan Islam, khususnya di kerusi-kerusi Kadazandusun Murut (KDM), yang menjadi tumpuan GRS, PH, BN serta parti lain seperti KDM dan Warisan (WARISAN).
Petang tadi, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, membuka laluan kepada PRN17 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Pengumuman itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman. PRN kali ini akan melibatkan kesemua 73 kerusi DUN Sabah.
Sebelum ini, GRS mengesahkan keanggotaan STAR dan SAPP telah tamat selepas kedua-dua parti memutuskan untuk bertanding solo. Dalam masa yang sama, WARISAN turut menyatakan hasrat untuk bertanding di semua kerusi tanpa bekerjasama dengan mana-mana parti lain.
Sementara itu, gerakan bebas dikenali sebagai “gelombang hitam”, yang diasaskan oleh Ahli Parlimen Kudat, Verdon Bahanda, turut dilaporkan akan bertanding di antara 10 hingga 15 kerusi DUN.
Situasi ini dijangka menjadikan PRN17 Sabah antara pilihan raya paling kompleks dan berwarna-warni dalam sejarah politik negeri berkenaan.
Sumber: Berita Harian
