KOTA KINABALU, 14 Julai 2025 – Filem tempatan bertajuk ‘Oppa’ mendapat sambutan menggalakkan apabila hampir 1,000 penonton hadir menyaksikan lapan slot tayangan khas yang berlangsung selama dua hari di Marina Sutera Harbour Resort, bermula Sabtu lalu.

Filem ini mengetengahkan kisah seorang guru wanita yang terpedaya dengan sindiket penipuan cinta (love scam), sekali gus membawa mesej penting tentang bahaya scam dan manipulasi emosi dalam dunia moden.

Penerbit filem, Captain Denil, berkata penceritaan filem ini bukan sahaja bertujuan menghibur tetapi juga mendidik masyarakat agar lebih berwaspada terhadap taktik penipuan yang sering berlaku secara dalam talian.

Tayangan dua hari itu turut disertai oleh Presiden Persatuan Inspirasi Sabah, Eliza Jane, dan Pengasas Women Entrepreneurs Consortium, Prof. Dr. Liana Lim, yang menyatakan sokongan terhadap usaha produksi tempatan mengangkat tema pendidikan sosial.

Wartawan Jegathisan Sivanesan yang turut hadir menyifatkan ‘Oppa’ sebagai karya yang seimbang antara hiburan dan mesej moral.

“Filem ini ada elemen mendidik. Pelakon-pelakonnya memainkan watak dengan baik, dan keseluruhan jalan cerita memberi kesedaran kepada penonton,” katanya kepada New Sabah News.

Antara pihak yang turut memberi sokongan kepada filem ini termasuk Komuniti Desa Madani Kampung Natai, Homestay Desa Cinta Kobuni, Persatuan Wanita Berdikari, IKSNita, Persatuan Bakat Screen Sabah (Sabah Screen Talent), Persatuan Bakat Seni & Kreatif Sabah (PBSKS), serta institusi pendidikan dan agensi tempatan seperti UMS, JKKN, PDRM, IPK dan Karyawan Square.

Sokongan padu daripada pelbagai lapisan masyarakat membuktikan bahawa karya tempatan masih mampu menjadi medium efektif untuk menyampaikan mesej positif serta meningkatkan kesedaran sosial di Sabah.


Sumber: New Sabah News, 14 Julai 2025

Avatar photo

By Bengkoka Online

Bengkoka Online ialah portal berita komuniti yang berpusat di Bengkoka, Pitas, menumpukan kepada laporan, naratif tempatan dan kisah sebenar dari utara Sabah. Fokus kami ialah membawakan berita dari perspektif masyarakat setempat — jujur, seimbang dan berakar pada realiti kehidupan harian penduduk khususnya di Bengkoka dan amnya di Sabah.