KOTA KINABALU, 17 September 2025 – Seramai 17 murid berusia antara 8 hingga 12 tahun dari sekolah sekitar Kota Kinabalu, Kudat dan Papar menyertai program Sabah Screen Talent (SST) KIDS 2025 siri pertama yang berlangsung di Galeri Azman Hashim, Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Program yang dianjurkan oleh Persatuan Bakat Skrin Sabah (PBSS) itu bertujuan mengasah bakat seni lakonan kanak-kanak, di samping membentuk kemahiran insaniah seperti kerjasama, hormat-menghormati dan disiplin.
Pengerusi PBSS merangkap pengerusi penganjur, Ramli Carlo, berkata penganjuran program ini merupakan langkah awal dalam membimbing bakat muda agar mereka didedahkan kepada dunia lakonan sejak usia sekolah rendah.
“Program ini menjadi platform asas bagi anak-anak Sabah untuk belajar mengenai seni skrin, membina keyakinan dan memupuk minat terhadap industri kreatif tempatan,” katanya.
Majlis penutupan disempurnakan oleh En. Chester Pang, Presiden Persatuan Filem & Video Sabah (SAFVA). Dalam ucapannya, beliau mengingatkan peserta agar meneruskan minat dan usaha dalam bidang lakonan.
“SST KIDS 2025 hanyalah permulaan. Saya berharap adik-adik akan terus belajar, berlatih dan mendalami dunia lakonan kerana industri ini memerlukan bakat baharu,” katanya sebelum menyampaikan sijil penyertaan kepada semua peserta.
Program ini dijangka diteruskan dalam beberapa siri susulan sepanjang tahun 2025, sebagai kesinambungan usaha PBSS melahirkan lebih ramai pelapis pelakon muda berbakat dari Sabah.
Sumber: Sabah Update, 17 September 2025
Rujukan tambahan: Persatuan Bakat Skrin Sabah (PBSS)
