KUALA LUMPUR, 30 September 2025 – Anak jati Sabah, Emmy Mangun, bakal membawa nama Borneo dan Malaysia ke pentas antarabangsa apabila mewakili negara dalam pertandingan berprestij World Cheongsam Queen International 2025 yang dijadual berlangsung di Taiwan.
Emmy diuruskan secara rasmi oleh Kimi Tomas, Pengarah Borneo di bawah pasukan Legend Universal Beauty Pageant, yang diketuai oleh Pengarah Antarabangsa, Maggie Leong. Pertandingan ini bakal menghimpunkan lebih 40 peserta dari seluruh Asia, termasuk Filipina, China, India, Thailand, Hong Kong dan Taiwan.
Para peserta bukan sahaja akan menampilkan keanggunan busana cheongsam ikonik yang ditaja oleh pereka terkenal Taiwan, tetapi turut mempersembahkan warisan budaya masing-masing di pentas dunia.
Menurut Kimi Tomas, kategori “Mrs.” kini menjadi platform penting yang meraikan wanita berstatus ibu dan profesional, memberikan ruang kepada mereka untuk menyerlah sebagai tokoh berwawasan, pemimpin komuniti dan sumber inspirasi generasi muda.
“Kami percaya Emmy akan bersinar dengan keanggunan, bakat dan dedikasinya, sekaligus mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di pentas antarabangsa,” ujar Kimi.
Penyertaan ini juga mencerminkan komitmen Legend Universal terhadap pemerkasaan wanita dan kerjasama antarabangsa, di samping mengetengahkan kekayaan budaya Borneo sebagai sebahagian daripada identiti Malaysia yang pelbagai.
Pasukan Borneo dijangka berlepas ke Taiwan pada 11 Oktober 2025, dengan Datuk Joanna Kitingan turut menyertai rombongan bagi memberikan sokongan penuh kepada wakil Mrs. Borneo.
Sumber: TV Sabah News, 6 Oktober 2025
