KOTA KINABALU, 7 Oktober 2025 – Dalam satu kenyataan yang mengejutkan ramai pemerhati politik Sabah, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, mengumumkan kesediaan partinya bekerjasama dengan semua parti tempatan Sabah termasuk Warisan dan kumpulan pembangkang lain bagi membentuk gabungan baharu dikenali sebagai S4S (Solidarity for Sabah).
Jeffrey menegaskan, sudah tiba masanya parti-parti tempatan berhenti bergantung kepada pengaruh luar dan mencontohi model perpaduan politik Sarawak.
“Tengok Sarawak bila mereka bersatu, mereka kuat. Bila kuat, mereka boleh capai apa yang mereka mahu.
Inilah kekuatan sebenar — kekuatan perpaduan,” katanya ketika ditemui selepas program solidariti di Kota Kinabalu.
“Sabah Boleh Jadi Seperti Sarawak”
Menurut Jeffrey, politik Sabah perlu berpaksikan dua teras utama — perpaduan dan kepimpinan berwibawa.
Beliau menyebut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg, sebagai contoh kepimpinan yang berjaya membawa Sarawak menjadi model kestabilan negeri.
“Siapa kata kita tidak boleh ikut cara Sarawak? Kita pun boleh,” katanya.
Naratif baharu STAR kini berpaksikan dua slogan — “Sabah for Sabahan” dan “Justice for Sabah” — yang menuntut hubungan setara antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung dalam Persekutuan Malaysia.
Beri Amaran kepada ADUN STAR
Mengulas lima ADUN STAR yang menyokong kerajaan GRS, Jeffrey berkata keputusan itu adalah pilihan individu, namun parti akan membuat keputusan rasmi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (AMT) tidak lama lagi.
“Itu pilihan mereka, saya tidak larang. Tapi kalau mereka tidak dengar suara rakyat, biarlah rakyat yang tentukan,” katanya.
Beliau turut memberi tempoh seminggu kepada mereka untuk membuat pendirian sebelum parti menilai semula calon bagi PRN akan datang.
PRN Sabah 2025: Peluang Anak Muda & Gabungan Baharu
Jeffrey turut mengumumkan bahawa STAR kini menilai calon baharu dari golongan muda dan pejuang setia parti, sekali gus menandakan penyegaran barisan menjelang PRN Sabah ke-17.
“STAR tidak tamak, kita akan bertanding bersama rakan dalam S4S untuk semua 73 kerusi,” ujarnya.
Beliau turut mengesahkan hubungan erat dengan SAPP kekal kukuh dan pembahagian kerusi telah pun dimuktamadkan.
“SAPP dan STAR memang dari dulu satu pasukan. Pembahagian kerusi pun sudah selesai, tiada masalah,” katanya lagi.
S4S: “GPS Versi Sabah”?
Penganalisis melihat langkah Jeffrey sebagai strategi menjadikan STAR blok tengah politik Sabah, setanding Gabungan Parti Sarawak (GPS) di negeri jiran.
Jika S4S berjaya dibentuk, ia berpotensi mencipta poros baharu kuasa politik — menyaingi gabungan persekutuan dan membuka laluan kepada politik Sabah yang benar-benar autonomi.
