PETALING JAYA, 6 Okt – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyeru rakyat Sabah agar memberi peluang kepada BN untuk mentadbir semula negeri itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Menurut beliau, keyakinan BN bukan sekadar retorik, sebaliknya berpaksikan pengalaman dan kemampuan parti itu dalam membangunkan Sabah sebelum ini.
“Kita percaya rakyat Sabah berhak menikmati kehidupan yang lebih baik, dengan peluang, kemajuan dan kestabilan politik yang kukuh. Inilah masanya untuk kita betulkan semula haluan negeri,” katanya.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut menegaskan bahawa rakyat sudah melihat kegagalan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menguruskan ekonomi, pelaburan dan pembangunan negeri.
Tambahnya, BN akan menumpukan isu-isu kelemahan dasar pembangunan GRS sebagai teras kempen kali ini, sambil merangka strategi yang selaras dengan keperluan rakyat.
“Politik hari ini menuntut kebijaksanaan dan kepekaan terhadap suara rakyat. Kita datang bukan dengan kata-kata manis, tetapi dengan pelan dan tindakan yang nyata,” katanya lagi.
Sumber: Utusan Malaysia
